
KUALA LUMPUR 5 Mac - Biarpun Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya mematahkan lapan plot serangan kumpulan pengganas Negara Islam (IS) menyerang negara namun tidak bererti Malaysia bebas sepenuhnya daripada ancaman tersebut.
Malah tiada satu negara pun yang boleh mendakwa bebas daripada ancaman pengganas termasuk kuasa-kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan Perancis.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, ancaman tersebut semakin hebat khususnya melalui usaha kumpulan IS yang menggunakan media sosial antaranya seperti Facebook serta Whatsapp bagi merekrut ahli-ahli baharu.
Tegas beliau, kumpulan pengganas IS adalah unik kerana mereka mampu menembusi semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang pendidikan hanya menggunakan media sosial.
“Kita juga pernah menangkap ketua penolong pengarah jabatan kerajaan, 14 anggota tentera termasuk empat komando, kakitangan kerajaan ada 19 orang malah ada pegawai jabatan agama pun terpengaruh.
“Mereka ini dari pelbagai lapisan masyarakat. Mereka mendakwa perlu ke Syria kononnya untuk berjihad sedangkan apa yang dilakukan itu jauh menyimpang daripada ajaran Islam yang sebenar,”katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi temu bual Sembang Online selama satu jam di Ibu Pejabat Utusan Melayu (M) Bhd., di sini semalam.
Mengulas lanjut Ayob Khan menjelaskan, keganasan tiada kaitan dengan Islam sebaliknya agama tersebut telah digunakan pihak pengganas untuk kepentingan peribadi.
Jelasnya, sejak 2001 PDRM telah menahan beberapa kumpulan militan daripada pelbagai agama dari beberapa negara.
“Untuk rekod kita pernah menangkap kumpulan militan dari The Liberation Tigers of Tamil Eelam dari Sri Lanka, kumpulan militan Sikh dari India dan suspek pengganas dari China yang cuma tidak dihebahkan kepada umum.
“Jadi jangan kaitkan keganasan dengan Islam sahaja. Keganasan ini tidak mengenal agama,” ujarnya.